Home Semasa COVID-19: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos

COVID-19: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, Pengisytiharan Proklamasi Darurat ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 didalam negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan,

“Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal sekiranya wabak berjaya dikawal,

“Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP ini,

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin COVID-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi COVID-19 di Malaysia,” tambahnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply