Home Semasa PKPD asrama pekerja Westlite dilanjutkan 2 minggu lagi

PKPD asrama pekerja Westlite dilanjutkan 2 minggu lagi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula 9 sehingga 22 Januari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan tersebut sejak 26 Disember lalu hingga 8 Januari 2021.

Namun, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,303 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 555 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di asrama ini masih lagi tinggi,

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti tersebut sehingga 22 Januari 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di submukim Ipoh, Perak ekoran berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan tersebut.

PKPB submukim Ipoh ini akan berkuat kuasa bermula esok (7 Januari) sehingga 20 Januari depan.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat 106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan secara bertaburan di dalam submukim Ipoh dan daripada jumlah itu sebanyak 89 kes adalah daripada jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari,

“KKM turut mengesahkan terdapat kluster yang masih aktif melibatkan kawasan kilang yang bertumpu dalam beberapa kawasan perindustrian di submukim ini yang berisiko kepada penularan jangkitan COVID-19,

“Pelaksanaan PKPB ini bagi adalah membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan ini,” tambahnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply