Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera Darat perkemas kesiagaan anggota, aset pertahan kedaulatan negara

Op Benteng: Tentera Darat perkemas kesiagaan anggota, aset pertahan kedaulatan negara

by Nurulhuda

PULAU PINANG, 11 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa komited sebagai salah satu agensi utama dalam menjaga kedaulatan negara melalui pengoperasian Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Penawar (Op Penawar) bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selain mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sehubungan itu, formasi Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) menjadi sebuah formasi yang sangat penting kepada TDM dalam memelihara dan menjaga wilayah utara tanah air daripada dicerobohi oleh anasir-anasir yang mengganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negara.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, TDM terutamanya 2 Div akan memperkemaskan lagi kesiagaan serta kesediaan anggota dan aset untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman khususnya ketika wabak pandemik yang boleh membawa maut ini.

“2 insiden tembak-menembak di kawasan sempadan baru-baru ini yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan mencederakan 2 yang lain, seharusnya menyedarkan kita bahawa ancaman itu adalah nyata,

“Sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan hasil daripada perlaksanaan Op Penawar dan Op Benteng telah menyebabkan musuh-musuh negara mencari helah baru untuk meneruskan aktiviti penyeludupan dan penyeberangan sempadan secara tidak sah. Mereka sanggup membunuh asal hasrat mereka tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapanya dalam rangka Lawatan Ulung PTD ke Markas 2 Div di kem Tun Razak, semalam.

Pada masa yang sama, Zamrose turut mengingatkan seluruh warga 2 Div untuk sentiasa berwaspada dan patuhi segala arahan keselamatan yang telah dikeluarkan.

Tambah Zamrose, aspek kebajikan warga TDM sentiasa menjadi keutamaan sejak dahulu, dimana beliau yakin sekiranya warga tentera yang dijaga kebajikannya akan menunjukkan prestasi kerja yang lebih berkualiti.

“Usaha perlu dibuat dalam memastikan setiap peringkat anggota mendapat semua hak yang sepatutnya mereka perolehi dimana perkara asas seperti peralatan peribadi head to toe perlu dipastikan cukup untuk mereka melaksanakan tugasan rutin dan operasi,” ujarnya.

Terdahulu, ketibaan Zomrose telah disambut oleh Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad. Kemudian beliau telah merasmikan Eagle Lounge di Mk 2 Div yang mana ia merupakan lobi utama yang dikhaskan untuk menerima kunjungan tetamu kenamaan di kem tersebut.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply