Home Pertahanan dan Keselamatan PGA usir PATI Indonesia cuba masuk Sarawak ikut jalan tikus

PGA usir PATI Indonesia cuba masuk Sarawak ikut jalan tikus

by Nurulhuda

KUCHING, 11 Dis – Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan dan mengusir 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melolos masuk melalui lorong tikus dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di sempadan Malaysia-Indonesia di Biawak, Lundu, semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata, tangkapan dibuat setelah ketiga-tiga lelaki tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek ditangkap cuba memasuki sempadan pada jam 8.15 pagi pada 10 Disember lalu,

“Anggota pasukan juga telah mengarahkan ketiga-tiga mereka berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama,

“Kesalahan tersebut di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Imigresen 1959 (Akta 155) Seksyen 6(1),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, anggota PGA juga telah menahan seorang lelaki tempatan bersama 2 orang PATI warga Indoensia atas kesalahan yang sama di Tebedu, malam tadi.

Menurutnya, sepasukan anggota PGA yang menjalankan rondaan keselamatan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di Serian, telah menahan dan memeriksa kenderaan jenis Honda Hybrid yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan PATI.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia atas kesalahan memasuki Sarawak tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,

“Kita turut merampas kenderaan berkenaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM80,000,” katanya.

Hasil tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Balai Polis Tebedu, Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply