Home Semasa COVID-19: 1,315 kes baharu, 4 kematian hari ini

COVID-19: 1,315 kes baharu, 4 kematian hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 1,315 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 63,176 kes.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 11,508 kes,

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 5 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,310 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,110 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 51,314 kes (81.2 peratus).

“Sehingga kini, terdapat 118 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan 4 kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 354 kes,” ujarnya.

Selain itu, negeri Sabah hari ini dilaporkan mempunyai kes harian tertinggi iaitu sebanyak 476 kes (36.2 peratus), di mana 406 kes (85.3 peratus) daripada kes-kes dikesan di negeri Sabah adalah hasil saringan kluster-kluster dan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Selangor sebanyak 266 kes (20.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 191 kes (14.5 peratus),

“Sebanyak 112 kes (8.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibunga (99 kes), Kluster Tembok (8), Kluster Penjara Reman (2), Kluster Rumah Merah (2), dan Kluster Penjara Kepayan (1),” jelasnya.

Dalam pada itu, KKM juga memaklumkan terdapat 6 kluster baharu dilaporkan dengan keseluruhan 355 kluster sehingga 28 November 2020.

“Kluster baharu hari ini adalah Kluster Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jesselton, Kluster Dermaga, Kluster Tempasuk, Kluster UD SS2 dan Kluster Tapak Bina Awan Baru,” ujarnya.

Katanya, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 175 kluster termasuk 2 kluster iaitu Kluster Menara dan Kluster Simera.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes,

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Enggor (126 kes), Kluster Teratai (90 kes) dan Kluster Bintang (71 kes),” katanya kenyataan itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply