Home Semasa PKPD: 40 penduduk Medan 88 serah diri setakat Selasa

PKPD: 40 penduduk Medan 88 serah diri setakat Selasa

by Bernama

SEPANG, 18 Nov – Seramai 40 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof  berkata, statistik sehingga semalam itu melibatkan 14 rakyat Malaysia terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dan 26 warga asing iaitu 18 lelaki dan lapan wanita.

Wan Kamarul Azran berkata 26 warganegara asing itu membabitkan Indonesia (12 lelaki dan empat wanita), Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu melibatkan India, Myanmar dan Nepal yang kesemuanya lelaki.

Beliau berkata seramai 346 penduduk Medan 88 sudah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu 44 orang disahkan positif sebelum PKPD dilaksanakan dan empat didapati positif selepas pelaksanaan PKPD.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang positif dari Medan 88 ialah 48 orang.

Kata Wan Kamarul Azran, jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 kini ialah seramai 383 orang, manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan ini ialah 50 orang.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD yang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 Nov ini. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply