Home Pertahanan dan Keselamatan Mohd Zakaria dilantik Ketua Staf Markas ATM ke-18

Mohd Zakaria dilantik Ketua Staf Markas ATM ke-18

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi secara rasminya dilantik sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-18 berkuatkasa hari ini.

Markas ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, Mohd Zakaria dilantik menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin yang bersara dalam perkhidmatan ATM.

Upacara serah terima tugas ini telah dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM yang bertempat di Ruang Perkasa, Kementerian Pertahanan.

“Dalam acara yang sama, Affendi turut menyampaikan cenderakenangan kepada Redzuan sebagai tanda penghargaan kepadanya diatas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan dalam perkhidmatan ATM amnya,” kata hantaran itu.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sani; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai kanan ATM.

Mohd Zakaria, 57, dilahirkan di Ipoh, Perak telah memulakan karier ketenteraan sebagai pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Julai 1981 sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 9 Jun 1983.

Sepanjang 37 tahun perkhidmatan, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Tentera Darat. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply