Home Pertahanan dan Keselamatan Isu Land Swap antara 3 isu baharu prosiding PAC

Isu Land Swap antara 3 isu baharu prosiding PAC

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia telah membuat keputusan untuk mengadakan prosiding ke atas 3 isu baharu termasuk pelaksanaan pertukaran tanah Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan.

Pengerusi Jawatankuasa PAC, Wong Kah Who berkata, selain isu Land Swap dari tahun 1995 hingga 2018 itu, PAC juga akan meneliti pelaksanaan Penguatkuasaan Automatik (AES) (2012-2018) di bawah Kementerian Pengangkutan dan projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet (2011-2019) di bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, 3 isu tersebut telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada PAC melalui Pengerusinya yang juga bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 16 November lalu.

“JKSTUPKK yang ditubuhkan kerajaan pada bulan Mei 2018, adalah bertujuan untuk diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyiasat kes-kes perolehan dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian daripada segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara,

“PAC Parlimen berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding Jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wong berkata isu Land Swap berkata JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes Land Swap yang melibatkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah berjumlah RM4.8 bilion.

“PAC Parlimen dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini adalah berkaitan dengan kerugian Kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten, serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan,” katanya.

Mengenai AES pula, JKSTUPKK telah membuat siasatan dibuat terhadap kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

Sementara itu, bagi projek perkhidmatan Sistem 1BestariNet telah dilaksanakan Kementerian Pendidikan selama 8 tahun mulai 2011 sehingga 2019 dengan kos berjumlah RM2.71 bilion.

“Objektif projek ini adalah untuk melengkapkan sebanyak 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan pelantar pembelajaran maya (Virtual Learning Enviroment),

“JKSTUPKK melaporkan analisisnya terhadap kelemahan dan kecuaian daripada segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Wong menjelaskan, PAC Parlimen akan memulakan prosiding terhadap isu Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan dengan memanggil saksi pertama iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan selaku Pegawai Pengawal Kementerian bagi memberikan keterangan dan penjelasan isu ini pada 30 November ini.

Wong menambah, selepas prosiding ini, PAC Parlimen akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan atau tidak. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply