Home Semasa Tidak boleh balik kampung masa perayaan Deepavali – Ismail Sabri

Tidak boleh balik kampung masa perayaan Deepavali – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Tiada pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tujuan balik kampung semasa perayaan Deepavali yang akan diraikan penganut Hindu pada 14 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walau bagaimanapun, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju untuk membenarkan penagut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan berkenaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Antara SOP Deepavali dalam kawasan PKPB dan PKPP adalah dengan penyediakan kaunter di pintu masuk kuil bagi memeriksa suhu badan dan penggunaan aplikasi MySejahtera serta merekod kehadiran individu,

“Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir,

“Upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang Rumah Ibadat (Kuil) dengan penjarakan fizikal,

“Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari dengan pembahagian sebanyak 5 sesi sahaja dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu,” katanya dalam sidang media harian, pada hari ini.

Bagi rumah kediaman pula, Ismail Sabri menjelaskan kehadiran keluarga dan tetamu ketika perayaan tersebut harus mengikuti keluasan sesuatu rumah iaitu tidak melebihi 15 hingga 20 orang dalam satu-satu masa.

“Ahli keluarga dan Individu digalakkan memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri. (hand sanitizer/sabun pencuci tangan),” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menegaskan tiada upacara sembahyang di kuil dan tiada aktiviti ziarah menziarahi bagi penduduk di kawasan PKPD.

“Sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan mengelakkan 3C iaitu bersesak, ruang tertutup dan juga perbualan jarak dekat,

“Melaksanakan sanitasi secara berkala terutamanya terhadap meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply