Home Semasa Surat pelepasan perjalanan: Tanggungjawab majikan terhadap pekerja sendiri

Surat pelepasan perjalanan: Tanggungjawab majikan terhadap pekerja sendiri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Setiap agensi kerajaan dan majikan syarikat swasta perlu menyediakan surat pelepasan perjalanan kepada kakitangan mereka yang bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, surat pelepasan itu adalah untuk kegunaan para pekerja yang terpaksa merentas daerah apabila melalui sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Kegagalan mempamerkan surat pelepasan dari majikan tersebut akan menyusahkan dan mengakibatkan pekerja diarah untuk pulang semula ke rumah serta tidak dapat hadir ke pejabat seperti biasa.

“Saya harap majikan faham sendiri kenapa mereka perlu memberikan surat pelepasan kepada pekerja mereka. Sekiranya pekerja itu perlu merentas daerah, mereka tidak boleh melepasi sekatan jalan raya jika tiada surat dari majikan atau pas pekerja,

“Kalau pekerja itu tak dibenarkan merentas daerah dalam SJR dan diarahkan pulang, bermakna yang rugi syarikat itu sendiri apabila pekerja mereka tidak datang kerja sebab tiada surat pelepasan dari majikan,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, tiada tindakan undang-undang yang akan dikenakan oleh majikan sekiranya syarikat tersebut gagal memberikan surat pelepasan kepada pekerja mereka.

“Pada saya, tidak perlulah kita hendak mengambil tindakan tegas dan sebagainya,

“Majikan itu sendiri perlu tahu, jika pekerja mereka yang dibayar gaji penuh tidak dapat hadir bekerja adalah kerana kesilapan mereka yang tidak memberikan surat tersebut,

“Syarikat mereka sendiri yang akan rugi. Tanggungjawab majikan itu sendiri untuk memastikan pekerja mereka supaya datang bekerja,” tambahnya.

Selasa lalu, Ismail Sabri menjelaskan hampir 1 juta pekerja sektor awam dan swasta diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja di pejabat.

“Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat pembayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan,

“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,”

“Pelaksanaan arahan ini akan berkuat kuasa bermula 22 Oktober (Khamis) sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply