Home Semasa 5 kematian, 847 kes baharu dicatatkan hari ini – Dr Noor Hisham

5 kematian, 847 kes baharu dicatatkan hari ini – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan sebanyak 847 kes baharu positif COVID-19 dikesan dan 5 kematian dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 847 jumlah kes yang dilaporkan, 578 kes dicatatkan di Sabah. Manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes.

“Sebanyak 13 kes pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Reman, Kluster Tembok dan saringan di Penjara Taiping serta Penjara Tapah. Kes-kes ini sememangnya terasing dan tidak menjangkiti masyarakat,

“Sebanyak 11 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 465 kes,” katanya dalam sidang media berkaitan situasi semasa jangkitan COVID-19, pada hari ini.

Beliau berkata, kes kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan warga emas berumur dalam lingkungan 60 hingga 88 tahun yang direkodkan 4 di Sabah dan 1 di Kedah.

“Kes kematian ke-200 membabitkan wanita berumur 67 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemik yang telah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah,

“Manakala Kes kematian ke-201 adalah seorang wanita berumur 65 yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth,

“Bagi kes kematian ke-202 pula, lelaki berusia 88 tahun dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent manakala kes kematian ke-203 pula ialah lelaki berusia 78 tahun yang mempunyai penyakit strok. Beliau meninggal dunia di Hospital Tuaran,” tambahnya.

Sementara itu, bagi kes kematian ke-204 pula, ia membabitkan wanita berusia 60 tahun dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 486 kes telah pulih daripada wabak pandemik itu dan 90 pesakit sedang di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa yang sama, beliau mengesahkan terdapat pertambahan 6 kluster baharu pada hari ini.

Sehingga kini, seramai 23,804 orang telah disahkan menghidap wabak pandemik yang membawa maut itu. Jumlah pesakit sembuh adalah 15,417 kes dan bilangan kes kematian telah meningkat kepada 204 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply