Home Semasa Anjung Teduh di Felda Sahabat dikenakan PKPD bermula 24 Okt

Anjung Teduh di Felda Sahabat dikenakan PKPD bermula 24 Okt

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Anjung Teduh di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa mulai 24 Okt hingga 6 Nov ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD ini akan melibatkan sebanyak 554 unit rumah dengan sejumlah 4,629 penduduk.

“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD,

“Namun demikian, sedikit kelonggaran akan diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Dalam pada itu, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ismail Sabri lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang terlibat.

“Bekalan keperluan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan PKPD di 5 penjara di Zon Utara dan 4 penjara di Zon Selangor serta kuarters perumahan penjara terbabit bermula hari ini sehingga 4 Nov 20.

PKPD di Zon Utara itu melibatkan Pusat Koreksional Perlis; Penjara Sungai Petani; Penjara Taiping; Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah manakala di Zon Selangor membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh; Penjara Kajang; Penjara Wanita Kajang dan  Pusat Koreksional Puncak Alam.

“Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan, pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia

“Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata pelanjutan PKPD di 6 lokaliti di Semporna dan satu di Kudak.

“Di Semporna melibatkan Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bakau dan satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan yang akan tamat pada 24 Okt ini dilanjutkan sehingga 6 Nov 20,

“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan berterusan dilakukan oleh pihak KKM dan bagi membendung penularan COVID-19 di lokaliti-lokaliti tersebut,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply