KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kerajaan mengumumkan Kota Belud dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 2 kawasan Lahad Datu berkuatkuasa esok sehingga 26 Oktober 2020.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD dikenakan di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih ekoran terdapat kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.
Katanya, perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini, selepas mendengar laporan daripada MKN Sabah.
Selain itu, PKPB yang dikenakan di daerah Lahad Datu berikutan terdapat peningkatan kes positif COVID-9 di daerah berkenaan.
“PKPD di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih akan membabitkan seramai 5,422 penduduk,
“Semua penduduk terbabit dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,
“Mereka tidak dibenarkan untuk keluar daripada rumah masing-masing dan laluan keluar masuk ke kawasan tersebut akan ditutup,
“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” katanya pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan secara langsung di laman sosial Kementerian Pertahanan, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, pelaksanaan PKPB di Kota Belud adalah bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan oleh pihak KKM sepanjang tempoh tersebut. – airtimes.my