Home Semasa Tiada perjalanan keluar masuk Sabah mulai 12 Oktober

Tiada perjalanan keluar masuk Sabah mulai 12 Oktober

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Sekatan perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan dikenakan mulai 12 Oktober sehingga 25 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, bagaimanapun, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang perlu mendapat kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menjelaskan, mereka yang telah mendapat kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

“Bagi kebenaran untuk pergerakan memasuki Sabah hanya diberikan kepada rakyat Sabah yang mempunyai MyKad kod H serta pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah,

“Selain itu, mereka yang bekerja dalam bidang perkhidmatan perlu (essential service) dan pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah juga diberi kebenaran,

“Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala bagi pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport turut dibenarkan memasuki negeri itu.

“Kesemua mereka yang dibenarkan, hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan,

“Mereka juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” tambahnya.

Ismail Sabri turut menegaskan, sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-36943 untuk maklumat lanjut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply