Home Semasa Pilihanraya Sabah dan PATI punca kes COVID-19 naik mendadak

Pilihanraya Sabah dan PATI punca kes COVID-19 naik mendadak

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperakui peningkatan kes COVID-19 di negara ini adalah berpunca dari Pendatang Asing Tanpa Izin dan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Perutusan Khas COVID-19 hari ini.

“Saya akui kempen pilihanraya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes-kes Covid-19,

“Pilihanraya Negeri Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai yang lalu,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pilihan raya tersebut tidak dapat dielakkan kerana ianya tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.

“Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” tegasnya.

Selain itu, peningkatan kes COVID-19 di Sabah adalah berpunca dari PATI yang datang dari negara jiran.

“Mereka ini sebahagiannya positif COVID-19. Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain,

“Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat,

“Begitu juga di negeri Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti,

“Kerana itu bilangan kes positif COVID-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu,” ujarnya.

Hari ini, Malaysia telah mencatatkan bilangan kes harian tertinggi iaitu 691 kes.

Daripada jumlah tersebut, 394 kes melibatkan Kluster Tembok di Kedah. Sehingga hari ini, kluster tersebut telah mencatatkan sebanyak 1,047 kes jangkitan dengan 5 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seramai 70 individu bukan warganegara turut dikesan dalam kluster ini.

Mula dikesan pada 30 September lalu, kluster ini telah mencatatkan 1 kes kematian.

Beberapa kluster COVID-19 di negara ini dikesan berpunca dari PATI antaranya Kluster Benteng Lahad Datu, Kluster Laut dan Kluster Benteng PK. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply