Home Semasa COVID-19: PKPD di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna

COVID-19: PKPD di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, Sabah akan berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 12 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 1,195 kes positif di kawasan berkenaan dalam tempoh 1 hingga 27 Setember 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, perintah berkenaan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat KKM telah memutuskan untuk melaksanakan PKPDB secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat untuk memastikan pematuhan perintah ini dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” ujarnya.

Sehingga kini, Sabah merupakan negeri ketiga tertinggi yang mencatatkan kes positif COVID-19 tertinggi dengan jumlah 1,671 kes serta mempunyai 9 kluster yang masih aktif.– airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply