Home Semasa PRN Sabah: Pengundi bergejala masih boleh tunai tanggungjawab mengundi

PRN Sabah: Pengundi bergejala masih boleh tunai tanggungjawab mengundi

by M.Daim

KOTA KINABALU, 26 Sept – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan tetap dibenarkan untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.

Menurut beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, khemah khas telah disediakan bagi tujuan itu.

“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan,

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menambah, garis panduan khas PRU DUN Sabah telah ditetapkan bagi membolehkan proses pengundian dijalankan semasa wabak COVID-19 melanda.

Menurut Abdul Ghani, mana-mana individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Person Under Surveillance, PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (Person Under Investigation, PUI) perlu memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum keluar mengundi.

“Mereka yang diletakkan di bawahg PUS dan PUI perlu memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” jelas Abdul Ghani.

Beliau menambah garis , semua pengundi diwajibkan memaki pelitup muka, melakukan saringan suhu, sanitasi tangan, merekod kehadiran dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-16 telah mencapai kemuncaknya apabila seramai 1,088,711 orang pengundi akan menunaikan tanggungjawab membuang undi pada hari ini.

Sebanyak 741 Pusat Mengundi dan 2,540 Saluran akan dibuka untuk tujuan proses pengundian,” ujar Pengerusi SPR.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat di Sabah untuk berwaspada dalam menunaikan tanggungjawab mereka semasa mengundi.

Ini berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Sabah.

Sehingga 25 September, Sabah mencatatkan jumlah kes kumulatif COVID-19 sebanyak 1,483 kes, ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain itu, Negeri Di Bawah Bayu ini mempunyai 4 daripada 5 zon merah wabak dalam negara iaitu di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Sementara itu, statistik yang dikeluarkan oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan sebanyak 9 kluster masih aktif di negeri itu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply