Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng Zon Utara rampas 2,079kg daun ketum bernilai RM85,890

Op Benteng Zon Utara rampas 2,079kg daun ketum bernilai RM85,890

by Air Times News Network

KEDAH, 24 Sept – Sebanyak 2,079kg daun ketum bernilai RM85,890 berjaya dirampas dalam Operasi Benteng Zon Utara melibatkan 7 siri tangkapan di  Padang Besar, Perlis dan Durian Burung, Kedah pada 22 hingga 23 Sept lalu.

Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd) dalam satu kenyataan berkata operasi ini

melibatkan ATM, PDRM, Kastam, Imigresen, AKSEM, RELA dan APMM kali ini berjaya menggagalkan aktiviti tekong di perbatasan hasil kerjasama erat setiap agensi dan orang awam melibatkan hal perisikan dan gerakan di perbatasan.

“Pada awal pagi 22 Sep 20, AKSEM Perlis telah berjaya menahan kenderaan yang mencurigakan di kawasan Felda Rimba Mas, Padang Besar, Perlis dan suspek melarikan diri semasa kereta ditahan untuk pemeriksaan keselamatan,

“300 kg daun ketum dan sebuah kenderaan Proton Waja telah berjaya dirampas dan dianggarkan bernilai RM 17,000.00. Rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar, Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Manakala pada 5 lagi tangkapan daun ketum seberat 1,474kg berjaya dirampas oleh trup operasi Briged Utara PGA di sekitar Ladang Getah Rimba Emas dan Bukit Batu Putih, Padang Besar.

“Kejadian berlaku pada awal pagi dan lewat petang dipercayai bagi mengelirukan pasukan keselamatan,

“Kereta Mitsubishi Pajero dan Proton Iswara nombor pendaftaran Malaysia berjaya ditahan, dan tekong telah melarikan diri,

“Kesemua rampasan bernilai RM57,740 telah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar, Perlis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sementara itu, kejayaan tangkapan ini diteruskan oleh trup operasi ATM di Durian Burung, Kedah dengan membuat rampasan daun ketum sebanyak 305kg yang cuba diseludup ke Thailand.

“Nilaian rampasan dianggarkan bernilai RM11,150 dan telah diserahkan ke Balai Polis Kuala Nerang, Kedah,

“Kesemua daun ketum melibatkan kawasan Op Benteng Zon Utara dipercayai akan dibawa ke Thailand serta pasaran tempatan sekitar Pulau Langkawi dan Alor Setar,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil rampasan melibatkan Op Benteng Zon Utara secara keseluruhannya pada 22 dan 23 Sep 20 adalah berjumlah RM85,890 dan 2,079kg daun ketum. – airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply