Home Semasa Masyarakat digesa jadi mata, telinga demi kedaulatan negara

Masyarakat digesa jadi mata, telinga demi kedaulatan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyeru agar masyarakat setempat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Beliau berkata, kedaulatan negara bukan hanya perlu digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.

“Masyarakat terutama di Sabah digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti jenayah rentas sempadan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Affendi berkata demikian ekoran terdapat maklumat mengenai kemasukan kemasukan PATI dari negara jiran ke Sabah yang bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Menurut Affendi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dalam apa jua situasi dan ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

“Kawalan persempadanan akan terus diperkukuhkan sebilang masa di seluruh negeri melalui Operasi Benteng (Op Benteng) yang diketuai ATM dan dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia,

“Dengan penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset-aset dari semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, ia diaturgerakkan secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses pilihan raya negeri berkenaan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah mewujudkan 4 pasukan pemantauan bagi mengawal kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihanraya tersebut.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pasukan berkenaan diaturgerakan sebagai persediaan awal ekoran terdapat maklumat mengenai kemasukan PATI secara besar-besaran daripada negara jiran ke negeri dibawah bayu itu.

“Kita akan memantau dan membantu Pesuruhjaya Polis Sabah kalau ada elemen-elemen yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam di negeri Sabah,

“Kita mahu PRN kali ini berjalan lancar,”katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply