Home Semasa COVID-19: 82 kes baharu, Sabah catat penambahan kluster

COVID-19: 82 kes baharu, Sabah catat penambahan kluster

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan satu lagi penambahan kluster baharu iaitu Kluster Bangau-Bangau di Semporna, Sabah.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster ini dikenalpasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna dan setakat hari ini sebanyak 5 kes iaitu kes ke-10,340 hingga ke-10,344 telah dikesan positif dalam kluster tersebut.

“Daripada jumlah itu, 4 kes merupakan warganegara Malaysia dan 1 kes merupakan bukan warganegara,

“Kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya dalam sidang media situasi semasa penyakit COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya penambahan kluster ini merupakan yang ketujuh di Sabah setakat ini.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari ini, seramai 97 individu telah disaring, 92 masih menunggu keputusan saringan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menjelaskan, sebanyak 82 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 60 daripadanya dikesan di Sabah.

“Sebanyak  41 kes dikesan daripada Kluster Benteng Lahad Datu, Kluster Selamat (6 kes), Kluster Pulau (6 kes) dan Kluster Bangau (5 kes).

“Manakala kes saringan komuniti serta saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth masing-masing mencatatkan satu 1 kes,”

Beliau turut menjelaskan, 10 kes dilaporkan hari ini di Kedah, melibatkan 9 kes daripada Kluster Sungai dan 1 kes daripada saringan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar yang melibatkan penduduk tempatan.

“Kes saringan sebelum pembedahan di Hospital Sungai Buloh dan di Hospital Umum Sarawak masing-masing turut mencatatkan 1 kes,

“Manakala bagi kes import pula, 9 kes dikesan di Kuala Lumpur dan 1 kes dikesan di Sarawak,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 168 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 9,563 kes.

“Sehingga kini, terdapat 9 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 2 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Manakala, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 130 kes,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply