Home Semasa Lokap sesak punca penularan COVID-19 di Sabah

Lokap sesak punca penularan COVID-19 di Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan faktor penularan wabak COVID-19 bagi kluster Benteng Lahad Datu, Sabah adalah disebabkan oleh keadaan ruang lokap yang sesak dan sempit.

Beliau berkata, ekoran keadaan lokap yang sempit itu menjadikan penjarakan fizikal antara banduan sukar diamalkan sekaligus menjadi penyumbang utama penularan jangkitan wabak berkenaan.

“Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 50 kes dikesan positif melibatkan kluster berkenaan dilaporkan hari ini. Manakala sejak 31 Ogos lalu, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif COVID-19 telah dikesan.

“Daripada 66 kes postif COVID-19, sebanyak 64 kes adalah melibatkan banduan manakala 2 lagi kes merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya,

“Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 631 orang banduan, 98 orang kakitangan penjara, 157 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan,

“Manakala 78 orang lagi yang disaring adalah anggota polis dan 440 orang pegawai agensi kerajaan yang lain,” tambahnya.

Menurut beliau, kluster ini melibatkan 2 daerah di Sabah. Daripada jumlah kes positif kluster Benteng ini, sebanyak 30 kes merupakan warganegara Malaysia dan 36 kes bukan warganegara.

“Seramai 420 individu telah disaring di Lahad Datu yang mana 50 kes telah dikesan positif, melibatkan 22 warganegara dan 28 bukan warganegara Malaysia,

“Seramai 337 individu pula dikesan negatif dan 33 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Manakala di Tawau, Dr Noor Hisham mengesahkan seramai 984 orang telah disaring dan 16 individu dikesan positif COVID-19.

“Seramai 230 individu telah dikesan negatif dan 738 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – airtimes,my

Related Articles

Leave a Reply