Home Semasa 873 individu ditahan termasuk 580 terbabit aktiviti pub, kelab malam

873 individu ditahan termasuk 580 terbabit aktiviti pub, kelab malam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Jumlah individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus meningkat apabila seramai 873 individu ditahan ketika Operasi Pematuhan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kesemua individu berkenaan ditahan atas pelbagai keselahan termasuklah menghadiri aktiviti di kelab malam dan pub serta tidak mengikut operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 797 individu telah dikompaun, 71 direman manakala 5 individu lagi telah dijamin,

“Seramai 580 individu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti kelab malam dan pub serta 293 individu tidak mengikut SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM turut telah membuat 58,147 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Pada masa yang sama, beliau berkata Operasi Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (PKKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,865 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

“Sebanyak 12,969 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,707 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya,

“Semalam (6 September 2020), sebanyak 16 operasi sanitasi meliputi 13 zon iaitu 4 Zon Kuning dan 9 Zon Hijau yang melibatkan 7 buah negeri antaranya Pulau Pinang (4 operasi), Sarawak (3 operasi), Pahang (2 operasi), Sabah (2 operasi), Melaka (2 operasi) dan Kedah (2 operasi) dan Selangor (1 operasi),” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply