Home Pertahanan dan Keselamatan Saya hanya cadang padam status LTTE sebagai pengganas – Tun M

Saya hanya cadang padam status LTTE sebagai pengganas – Tun M

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan beliau hanya mengemukakan pendapat kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mengeluarkan LTTE dari senarai pengganas.

Menurutnya dalam satu kenyataan, Tun M mengemukakan cadangan itu selepas menerima maklumat dari Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas bahawa tiada bukti kukuh untuk mendakwa penyokong LTTE.

“Berkenaan dengan penyokong LTTE, saya dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang keganasan yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan,

“Saya memberi pendapat kepada Menteri yang bertanggung jawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan,” kata Tun M di laman blognya.

Beliau menambah, cadangan tidak menyenaraikan kumpulan itu sebagai pengganas adalah selari dengan pendirian kerajaan Sri Lanka yang tidak lagi melabel anggota LTTE serta penyokongya sebagai pengganas.

Pada masa yang sama, Tun M menjelaskan penggunaan Hamas dalam surat yang ditulis olehnya adalah sekadar contoh semata-mata.

“Saya gunakannya sebagai contoh di mana kita tahu masyarakat dunia memang melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas. Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini,

“Semua tahu bagaimana kita telah beri bantuan kepada Hamas di Gaza. Kita juga telah terima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020,” ujarnya.

Lawatan Ismail ke negara ini turut melibatkan pertemuan dengan Tun M yang pada ketika itu masih memegang jawatan Perdana Menteri ke-7.

Pada masa yang sama, Tun M turut menegaskan cadangan beliau untuk menolak keluar LTTE dari senarai pengganas adalah konsisten dengan pendiriannya serta Pakatan Harapan sebelum Pilihanraya 2018.

“Langkah ini konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihanraya 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk menahan mereka yang menentang pencurian mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa,

“Mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini adalah satu ketidakadilan yang melampau,” kata Tun M.

Pada akhir Ogos lalu, tular sekeping surat bertarikh 12 Februari yang ditulis oleh Tun M kepada Muhyiddin yang apda ketika itu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri.

Dalam surat itu, Tun M berpendapat bahawa Malaysia tidak mempunyai sebab untuk terus meletakkan LTTE sebagai pengganas.

Menyentuh surat tersebut, Tun M menyatakan beliau tidak tahu apa tujuan sebenarnya surat tersebut didedahkan kepada umum.

“Seolah-olah memperlihatkan saya seorang penyokong LTTE,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply