Home Semasa 101 projek rundingan terus bernilai RM6 bilion diluluskan oleh Lim Guan Eng

101 projek rundingan terus bernilai RM6 bilion diluluskan oleh Lim Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mendedahkan sebanyak 101 projek dengan jumlah keseluruhan pemerolehan RM6.61 billion telah diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, jumlah perolehan tersebut adalah berdasarkan rekod yang telah diperolehinya.

“Untuk maklumat dewan yang mulia ini, semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang telah diluluskan ketika zaman pemerintahan PH.

Pendedahan tersebut membuatkan suasana persidangan bertukar menjadi gamat apabila segelintir Ahli Parlimen yang memohon perincian mengenai rundingan terus itu.

Antara Ahli Parlimen tersebut temasuklah, Ahli Parlimen Baling , Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyebut “RM6 bilion? Astaghfirullahalazim…hebat Bagan, telus

“RM6 bilion, 100 lebih projek? Temberang betul PH,” celah Noh Omar (BN – Tanjung Karang).

“Terkejut kami….”celah Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman.

Manakala Ahmad Maslan menyindir dengan meminta untuk Menteri Kewangan mengulangi kenyataan itu semula.

Pada masa yang sama, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut bangun untuk menyangkal perkara itu dengan berkata keputusan untuk meluluskan projek secara rundingan terus telah dibincangkan dalam Kabinet.

“Saya terbuka sekiranya Yang Berhormat (Menteri Kewangan) hendak memberikan senarai, itu tender-tender yang diberikan bukan tender yang diberikan secara terbuka. Kalau kita lihat jumlah yang diberikan tender secara terbuka jauh lebih besar, ini tertakluk kepada syarat-syarat yang diberikan tadi,

“Seperti yang saya sebutkan tadi, apakah projek yang diberikan secara direct award dan ia juga diluluskan oleh kabinet? Sepertimana YB PM pun tau,” jelas Lim Guan Eng.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) kemudian bangun mempertahankan Lim Guan Eng dengan bersetuju supaya senarai tersebut diumumkan.

“Saya setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan semasa PH atau semasa PN,” kata Anwar.

Namun, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak) turut mencelah dan menyatakan perkara tersebut, sebaliknya tidak pernah dibincangkan.

“Kita ada menteri kewangan memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya RM6 bilion dan tidak betul YB Bagan (Lim) kata Kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarai perolehan pada masa itu,

“YB Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet. Tidak pernah,” tegas Azmin. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply