Home Semasa Pembiayaan projek kereta terbang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta

Pembiayaan projek kereta terbang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegaskan pihaknya tidak memberikan sebarang peruntukan untuk projek kereta terbang.

Menurut beliau, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MIDAC) pada ketika ini memberikan fokus kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Mikro dan Koperasi dalam menghadapi kesan wabak COVID-19.

“Keutamaan MIDEC adalah untuk melaksanakan yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi,

“Ini memastikan usahawan yang terjejas oleh COVID-19 dapat dibantu untuk meneruskan perniagaan mereka. Kesan penularan wabak ini terhadap usahawan tempatan perlu ditangani dengan baik,” kata Wan Junaidi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, kereta terbang atau super dron merupakan satu peluang perniagaan buat usahawan tempatan kerana ianya melibatkan industri air mobility.

“Industri ini mempunyai potensi yang tinggi di pasaran dan antarabangsa. Selain itu, industri ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini seperti Artificial Intelligence, big data dan lain-lain yang berkembang pesat di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Wan Junaidi menambah, pada ketika ini, projek tersebut sedang diterajui dan dibiayai oleh sektor swasta yang terlibat.

“MIDAC hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan yang memfokuskan industri dron dan super dron,

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan dari kerajaan dan juga pihak MIDAC,” kata Menteri.

Pada akhir tahun lalu, kereta terbang atau super dron telah diuji di negara ini dengan kerjasama syarikat tempatan dengan China.

Kenderaan tersebut dihasilkan menerusi usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply