KUALA LUMPUR, 30 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki oleh warga asing sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan berkata, keengganan mereka ini disifatkan telah menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.
“Mulai 24 Julai 2020, kerajaan telah mewajibkan semua warga negara Malaysia yang pulang ke negara ini dan warga negara asing yang diberi kebenaran masuk, dikuarantin selama 14 hari,
“Bagi warga negara asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Khairul memberi amaran akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki oleh warga asing berkenaan sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin tersebut.
“Antara jenis pas yang terlibat ialah Pas Suami atau Isteri kepada warga negara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori,
“Semua warganegara asing dan rakyat tempatan dinasihatkan untuk mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman-pengumuman terkini dari agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan COVID-19,” tambahnya.
Beliau menegaskan, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi standard operation prosedure (SOP) yang telah ditetapkan.-airtimes.my