Home Semasa Tiada janji untuk iktiraf UEC – Muhyiddin

Tiada janji untuk iktiraf UEC – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyatakan bahawa kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sebaliknya menegaskan peperiksaan itu perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya pada masa hadapan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, UEC telah mendapat pengikhtirafan sebahagian (partial recognition) daripada kerajaan terdahulu.

“Berhubung isu pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Huazhong bersama Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC,

“Perdana Menteri menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),

“Kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri secara peribadi berharap kerajaan akan mengiktiraf UEC suatu hari nanti.

Huazong berkata Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta agar semua pihak memahami dasar dan keadaan dalam negara,

“Perdana Menteri mencadangkan agar kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Cina dapat menggunakan dasar-dasar negara serta keadaan semasa sebagai asas untuk rundingan lanjut dan ia akan menghasilkan penyelesaian menang-menang untuk semua pihak,” jelas Huanzong. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply