Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tangkap ‘nelayan’ seludup 3.2kg syabu bernilai RM160,000

APMM tangkap ‘nelayan’ seludup 3.2kg syabu bernilai RM160,000

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 19 Jul – Hasrat seorang tekong tempatan cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 3.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM160,000 dengan menyamar sebagai nelayan gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Johor, pada Jumaat.

APMM dalam hantaran di Facebook rasmi berkata, cubaan itu berjaya dipatahkan oleh anggota APMM Johor yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut di perairan Tanjung Piai,Johor kira-kira jam 3.30 pagi, pada 17 Julai lepas.

Menurut APMM Johor, dadah tersebut dipercayai mahu diseludup ke negara jiran dengan menggunakan modus operandi menyamar sebagai nelayan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan apabila barang-barang yang dirampas turut mengandungi peralatan menangkap ikan dan tong ikan.

“Tekong tempatan yang berusia 38 tahun itu cuba membuang beberapa tong plastik dari bot fibernya ke laut selepas menyedari botnya sedang dihampiri oleh bot peronda Maritim Malaysia kira-kira 3.8 batu nautika tenggara Tg Piai, Johor,

“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota APMM berjaya menemui beberapa buah tong yang disorokkan di bawah tempat duduk tekong yang mengandungi beberapa bungkusan plastik serbuk kristal yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 3.2kg,

“Bot fiber berwarna kelabu dan biru tidak bernombor serta suspek terbabit ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,

“Nilai rampasan dadah disyaki syabu seberat 3.2 kilogram dianggarkan bernilai RM 160, 000, manakala nilai keseluruhan rampasan adalah RM 202 ribu merangkumi dadah, bot fiber beserta enjin sangkut 60 kuasa kuda dan sebuah kereta toyota,” jelas kenyataan itu.

APMM Johor turut menegaskan telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis bot bagi menghapuskan jenayah rentas sempadan khasnya penyeludupan PATI dan pengedaran dadah di negeri berkenaan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply