Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera Darat berkas 5 PATI Indonesia cuba lolos dari Malaysia

Op Benteng: Tentera Darat berkas 5 PATI Indonesia cuba lolos dari Malaysia

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 6 Jul – Seramai 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba meloloskan diri dari Malaysia berjaya diberkas oleh Tentera Darat dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Johor pagi tadi.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, penahanan tersebut telah dibuat oleh pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) yang diketuai Mejar Paiman Mat Don di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

“Kesemua PATI yang ditahan kira-kira jam 4 pagi itu, merupakan lelaki dewasa berusia antara 20 hingga 40 tahun,

“Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar PATI tersebut turut dirampas,

“Selain itu, 5 buah telefon serta wang tunai berjumlah RM1,850 dan 1.3 juta rupiah turut dirampas menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM 19,000,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI tersebut diserahkan ke Balai Polis Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani pemeriksaan COVID-19.

“Pasukan turut meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI di sekitar Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia.

“Untuk rekod, sepanjang  tahun ini sahaja, pasukan melalui Op Merpati telah berjaya menahan 265 PATI yang cuba menyusup masuk atau keluar dari Malaysia.

“Semenjak 61 RAD terlibat dalam Op Benteng seramai 104 PATI telah berjaya ditangkap,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply