Home Semasa Sultan Johor biayai kos baik pulih wad HAS terbakar

Sultan Johor biayai kos baik pulih wad HAS terbakar

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaikpulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam.

Baginda bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor,

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Baginda bertitah akan sentiasa mengutamakan rakyatnya dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terlibat dalam membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

Semalam, 52 wad perubatan perempuan HAS terbakar kira-kira jam 3 petang, namun kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pada mulanya kebakaran adalah kecil dan dapat diatasi oleh Pasukan Respons Kecemasan (ERT) yang dilatih untuk memadamkan kebakaran, namun ia merebak semula.

Menurut Dr Adham, pihak bomba sampai ke tempat kejadian dalam masa lima minit kemudian dan berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran dalam masa 10 minit.

Beliau juga berkata punca kebakaran masih lagi disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan kerja-kerja forensik. -airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply