Home Semasa “Kita jaga diri kita, kalau bukan kita siapa lagi” – Dr Noor Hisham

“Kita jaga diri kita, kalau bukan kita siapa lagi” – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 7 Jun – Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita dan kita jaga Negara. Kalau bukan kita, siapa lagi, pesan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menyeru kerjasama daripada setiap individu agar bersama-sama membendung wabak pandemik COVID-19 dan memastikan rantaian jangkitan wabak berkenaan diputuskan di negara ini.

“Selepas 35 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dikuatkuasakan bermula 10 Jun 2020,

“Penguatkuasaan PKPP merupakan pelaksanaan secara berperingkat oleh kerajaan bagi memastikan negara dapat melalui fasa pemulihan dalam penularan COVID-19 ini,

“Lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan akan dibuka. Pergerakan masyarakat juga diberi kelonggaran dan ia akan dilaksanakan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” kata Dr Noor Hisham semasa sidang media hariannya hari ini.

Dr Noor Hisham berharap pendekatan ini dapat mengimbangi nyawa dan mata pencarian, sebagai sebahagian daripada pemulihan dan seterusnya menyediakan negara bagi strategi keluar (pelepasan) dari wabak berkenaan.

“Pelaksanaan PKPB dan juga PKPP hanya akan berjaya dengan pematuhan semua pihak terhadap SOP yang telah ditetapkan dan juga penglibatan komuniti dalam sama-sama membudayakan norma serta kelaziman baharu dalam kehidupan seharian,

“KKM menyeru masyarakat untuk terus patuh kepada SOP dan kekal waspada bagi memastikan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan dalam komuniti,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply