KUALA LUMPUR, 3 Jun – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini menerima sumbangan 50,000 unit topeng muka, 3,000 pakaian pelindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan dari Kementerian Pertahanan Republik Rakyat China.
Sumbangan tersebut adalah bagi kegunaan petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memerangi wabak pandemik COVID-19.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini.
“Sumbangan terdiri daripada 13 jenis barangan dan peralatan perubatan termasuk topeng muka pendedahan, kaca mata perubatan, pelindung muka dan helmet pengimbas suhu,
“Kesemua barangan ini telah diterbangkan dari China ke Malaysia dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China pada 12 Mei lalu,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, Duta Besar China turut mengambil peluang mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan pada Mac yang lalu.
“Kedua-dua mereka telah menyentuh mengenai hubungan kerjasama pertahanan dua hala Malaysia dan Republik Rakyat China di samping isu-isu mengenai Laut China Selatan serta penghantaran pulang 500 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga China,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.-airtimes.my