Home Semasa Kebebasan akhbar perlu selari dengan prinsip kebenaran dan keadilan

Kebebasan akhbar perlu selari dengan prinsip kebenaran dan keadilan

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 3 Mei – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa kerajaan komited dalam menegakkan kebebasan akhbar di negara ini.

Menurutnya, kebebasan akhbar perlu selari dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan.

“Dalam era teknologi maklumat abad ke-21, akhbar bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara,” katanya sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada para wartawan dan pengamal media di seluruh Malaysia hari ini.

Jelas Saifuddin, beliau bangga dengan pencapaian Malaysia dalam indeks kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders, RSF), di mana Malaysia mencatat peningkatan setinggi 22 anak tanga ke tangga 101 dalam kalangan 180 buah negara yang tersenarai dalam indeks terkini.

“Namun, kita perlu berusaha untuk bukan saja meningkatkan kedudukan negara dalam indeks antarabangsa, tetapi lebih penting lagi ialah meletakkan peranan akhbar dalam pendekatan partisipatori bersama pemegang-pemegang taruh lain iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan kongsi pembangunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menzahirkan penghargaan kepada para wartawan yang merupakan tonggak utama membawa informasi yang terkini dan sahih kepada masyarakat.

“Juga menjadi tanggungjawab untuk kita semua menegakkan kebebasan wartawan bagi menjalankan tugas dengan baik dan menjunjung prinsip-prinsip serta amalan etika kewartawanan,” tambahnya.

Sejak diisytiharkan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1993, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebebasan akhbar.

Pada tahun ini, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bertema “Journalism without Fear or Favour”. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply