KUALA LUMPUR, 29 Apr – Kerajaan mengumumkan kebenaran dua individu untuk bergerak dalam satu kenderaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke 4 hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu bagaimanapun terhad kepada mereka yang tinggal di rumah yang sama dan daripada keluarga terdekat.
“Jika dalam PKP sebelum ini kita hanya benarkan seorang sahaja bagi satu kenderaan tetapi untuk PKP empat ini kita beri kelonggaran. Namun ia mestilah keluarga terdekat seperti suami isteri atau ibu dengan anak,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyurat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri turut menjelaskan perwartaan terbaru oleh kerajaan yang memutuskan pergerakan yang tidak melebihi 10km radius turut dilonggarkan untuk individu-individu yang mahu mendapatkan bekalan makanan dan perkhidmatan kesihatan serta perubatan.
“Dulu terdapat didalam peratuan bahawa tidak boleh keluar lebih dari 10 km, kecuali mempunyai sebab tertentu dan ia berdasarkan budi bicara polis sahaja,
“Kali ini kami wartakan dengan lebih jelas, iaitu perkara-perkara yang kita benarkan, jika ia melibatkan pembelian keperluan harian, kesihatan dan perubatan. Kalau mereka terpaksa keluar lebih dari 10km, jadi kami benarkan,
“Namun, individu-individu berkenaan harus memilih premis yang paling dekat dengan kediaman masing-masing,” tambahnya.