KUALA LUMPUR, 29 Mac – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan melaporkan 7 lagi kes kematian dicatat di Malaysia akibat jangkitan COVID-19 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terkini kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 34 kes.
Beliau juga memaklumkan terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan CPRC hari ini.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,470 kes,
“Sehingga kini, seramai 73 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, sehingga kini kes yang telah disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad 68 kes hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 388 kes,” ujarnya.
Berikut adalah laporan terperinci 7 kematian kumulatif COVID-19 di Malaysia hari ini:
• Kes kematian ke-28 (kes ke-2321) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 8.48 pagi.
• Kes kematian ke-29 (kes ke-2123) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 64 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 10.15 malam.
• Kes kematian ke-30 (kes ke-2322) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di PPUM. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 11.33 malam.
• Kes kematian ke-31 (kes ke-2323) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 27 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam.
• Kes kematian ke-32 (kes ke-1239) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan peserta perhimpunan Seri Petaling. Beliau dirawat Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 22 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam.
• Kes kematian ke-33 (kes ke-1249) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara India. Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 11.25 malam.
• Kes kematian ke-34 (kes ke-787) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 10.40 pagi.