Home Semasa Kerajaan gempur COVID-19 dari rumah ke rumah di zon merah wabak

Kerajaan gempur COVID-19 dari rumah ke rumah di zon merah wabak

by M.Daim

PUTRAJAYA, 27 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 bagi menggelakkan penularan wabak itu.

Beliau mengulas pengisytiharan perlaksanaan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid berkuatkuasa tengah malam tadi.

“Tujuan utama langkah ini adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak dan membolehkan aktiviti pengesanan secara aktif dari rumah ke rumah,” jelas Ketua Pengarah Kesihatan semasa sidang media Perkembangan COVID-19, hari ini.

Menurut beliau, aktiviti pengesanan secara aktif melibatkan langkah pencarian individu dijangkiti, pelaksanaan ujian, pengasingan pesakit dan rawatan dari rumah ke rumah.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan sebanyak 300 sampel akan diambil dalam masa sehari mulai hari ini. Langkah ini akan memberi fokus kepada golongan kontak rapat, bergejala dan berisiko tinggi,

“Selain itu, aktiviti nyahkuman dan nyahjangkitan akan dilakukan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau menambah penerangan tatacara disinfeksi rumah akan diberikan kepada penduduk.

Dr Noor Hisham turut mengesahkan sebanyak 88 kes positif jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Daerah Kluang setakat tengah hari tadi.

“Dari jumlah itu, 74 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid,” kata Noor Hisham.

 

Related Articles

Leave a Reply