Home Semasa Batal atau tangguh acara keramaian hingga 30 April – Muhyiddin

Batal atau tangguh acara keramaian hingga 30 April – Muhyiddin

by Bernama

KUALA LUMPUR,14 Mac- Kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan, termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan, ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan tersebut akan diteliti semula, sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik.

Menurutnya, semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, telah mengeluarkan garis panduan bagi perhimpunan ibadat di masjid, untuk mengelakkan penularan COVID-19.

“Saya berharap pihak berkuasa Agama Islam di negeri-negeri, turut mengeluarkan garis panduan yang serupa dengan mengambil kira nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen semalam.

Zulkifli berkata solat Jumaat hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

Selain itu, Zulkifli turut dilaporkan berkata orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah, manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

Tambah Muhyiddin, acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga, mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan, dari semasa ke semasa.

Susulan COVID-19 beberapa acara dan program telah ditangguhkan, antaranya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, solat Jumaat di seluruh negeri itu hari ini digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan turut memutuskan agar semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan dan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara, ditangguhkan berkuat kuasa semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditangguhkan bermula Isnin depan, susulan penularan COVID-19.

Perdana Menteri berkata beliau turut menyedari bahawa ada rakyat yang terkesan dari segi ekonomi akibat penularan wabak itu.

“Ada yang diarah mengambil cuti, bekerja dari rumah, malah kehilangan pekerjaan. Dari segi ekonomi, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, dan industri pengangkutan. Saya sedar bahawa langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat,” kata Muhyiddin.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply