Home Semasa 31 Menteri, 37 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah

31 Menteri, 37 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah

by Fatini Hanis Norzali

PUTRAJAYA, 10 Mac – Seramai 31 Menteri dan 37 Timbalan Menteri Kabinet mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati hari ini.

Istiadat yang bermula pada jam 3 petang itu didahului dengan kumpulan pertama Jemaah Menteri, diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohammad Azmin Ali.

Beliau turut bersama 6 lagi Menteri dalam kumpulan yang sama iaitu Datuk Seri Mohamad Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertahanan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan), Datuk Seri Fadzilah Yusof (Menteri Pendidikan), Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan) dan Datuk Seri Panglima Maximus Johnity Ongkili, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Sejurus penerimaan surat cara pelantikan, para Menteri dan Timbalan Menteri melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan. Majlis turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun binti Tuan Mat.

Pada 1 Mac yang lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 72, telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 setelah mendapat perkenan Agong.

Turut hadir semasa majlis angkat sumpah, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Badoor.

Related Articles

Leave a Reply