LUMUT, 10 Mac – Kesemua pegawai dan anggota KD LEKIU yang menjalani ujian saringan kedua semalam disahkan negatif wabak COVID-19.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan hari ini menyatakan keputusan tersebut telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan berkata, keputusan ini adalah sesuatu yang menggembirakan buat TLDM terutamanya warga KD LEKIU serta semua ahli keluarga krew yang terlibat.
“Saya menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam ujian saringan yang dilaksanakan,
“Terutama petugas dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM,” tambah beliau.
Aris juga menegaskan isu COVID-19 warga kapal telah dilaksanakan dengan professional dan TLDM amat prihatin terhadap kesihatan warga kapal.
Dalam kenyataan yang sama, semua warga KD LEKIU yang dikuarantin di kapal sebelum ini akan dibenarkan pulang untuk bertemu keluarga masing-masing setelah dipersetujui oleh KKM.
Sebelum ini, semua pegawai dan anggota telah dikuarantin di dalam kapal di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) sehingga keputusan saringan kedua diperolehi dari Bahagian Kesihatan.