Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Bekas pegawai tentera didakwa terima rasuah RM10,000

Bekas pegawai tentera didakwa terima rasuah RM10,000

by Bernama

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, empat tahun lepas.

Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suatu suapan iaitu wang sebanyak RM5,700 dan RM4,300 daripada Mohd Rafie Abdul Rahman melalui Siti Nur Zura Khalid di sebuah bank di Kluang pada 20 Sept 2016.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhubung hal ehwal prinsipal iaitu melantik syarikat Teknik Murni Enterprise bagi melaksanakan kerja-kerja selenggaraan sivil, mekanikal dan fasilitas, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Pulada dan infra mekanikal Pusat Latihan Tentera Tempur Darat (PULADA).

Tertuduh, yang juga merupakan bekas Pegawai Senggara 2 Sivil dan Struktur ATM, didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat sementara, tertuduh yang sepatutnya diwakili seorang peguam, bagaimanapun, tidak hadir untuk mewakili tertuduh.

Ketika mengemukakan permohonan jaminan, Mahadi memohon ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur minggu pertama setiap bulan sehingga tarikh perbicaraan serta tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi.

Tertuduh kemudian memohon jaminan dikurangkan kerana sudah tidak bekerja dan hanya membantu kawannya yang mengusahakan kantin sekolah dan merupakan anak tunggal yang menanggung ibu bapa di kampung dan empat orang anak.

Kamarudin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 April ini bagi sebutan semula kes. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply