MOSKOW, 19 Feb – Kerajaan Rusia akan menyekat kemasukan semua warga China ke negara itu mulai Khamis ini.
Langkah yang diputuskan oleh Moskow telah diluluskan oleh Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin, semalam.
Sekatan itu melibatkan semua warga China dari memasuki Rusia sama ada dengan tujuan pelancongan, pendidikan atau berkerja di negara besar dunia itu.
Interfax melaporkan, keputusan dibuat berikutan situasi wabak Coronavirus-2019 (COVID-19) yang semakin memburuk di China serta kehadiran warganegara itu di Rusia.
“Mulai tengah malam 20 Februari 2020, semua laluan untuk pelawat China memasuki sempadan Rusia kini digantung sepenuhnya untuk sementara waktu,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Rusia.

Sekatan terbaharu oleh Moskow menghalang sebarang kemasukan rakyat China yang ingin melawat, belajar atau berkerja di negara itu.
Melalui keputusan ini, Rusia akan berhenti menerima, memproses dan mengeluarkan visa kepada warga China mulai hari Selasa. Keputusan pengantungan ini tidak melibatkan penumpang dari negara Asia itu yang melakukan transit di Moskow.
Transit di Moskow merupakan salah satu laluan popular buat warga China yang ingin melakukan lawatan ke Eropah. Seramai 1.26 juta warga China telah menggunakan lapangan terbang Sheremetyevo di Moskow pada tahun lalu.
Penularan wabak COVID-19 merupakan satu ujian berat dalam hubungan baik antara Rusia-China. Pada tahun lalu, nilai dagangan kedua-dua negara telah mencecah US$ 110 bilion. Rusia telah mengeluarkan sebanyak 2.3 juta visa kepada warga China yang datang ke negara itu.
Sehingga kini, Rusia telah merekodkan 2 kes jangkitan COVID-19 melibatkan warga China di Siberia. Kesemua pesakit telah dilaporkan sembuh oleh Rusia pada 12 Februari lalu. Sementara itu, Rusia turut mencatatkan 1 kes COVID-19 melibatkan warganegaranya di atas kapal persiaran Diamond Princess di Jepun.
Pada akhir Januari lalu, Rusia telah menutup sempadannya yang sepanjang 4,000 kilometer dengan China. Selain itu, Moskow turut melarang kemasukan kumpulan pelancong China dan juga mengantung semua operasi penerbangan kedua-dua negara.
Rusia turut membawa keluar seramai 300 rakyatnya di Wuhan dan 341 lagi dari bandar lain di Hubei.