Home SemasaGlobal Batal perjanjian VFA jejaskan usaha membendung ancaman China, pengganas

Batal perjanjian VFA jejaskan usaha membendung ancaman China, pengganas

by M.Daim

WASHINGTON, 12 Feb – Tindakan kerajaan Filipina membatalkan Perjanjian Pasukan Pelawat (Visiting Forces Agreement, VFA) semalam akan menyukarkan usaha untuk membendung perluasan pengaruh China di Laut China Selatan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Mark Esper menyatakan keputusan yang diambil oleh Manila adalah ‘malang’ dan menuju ke arah yang tidak sepatutnya.

“Amerika Syarikat dan Filipina serta beberapa negara lain di rantau Asia sememangnya berusaha untuk memastikan China untuk mematuhi undang-undang antarabangsa,

“Keputusan yang diambil adalah satu langkah yang menuju ke arah yang bertentangan dari apa yang diharapkan oleh kedua-dua pihak,” kata Esper.

Semalam, pihak Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengesahkan notis penamatan VFA telah diserahkan kepada pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Manila.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengambil keputusan untuk membatalkan VFA sebagai tindak balas terhadap Washington yang disifatkan cuba mencampuri urusan perlaksanaan dasar Perang Dadah Filipina (Philippine Drug War).

Sebelum ini, Amerika Syarikat telah menyenarai hitam Senator Ronald dela Rosa kerana penglibatan beliau dalam perlaksanaan dasar yang penuh kontroversi itu.

VFA memberikan kemudahan kepada anggota tentera Amerika Syarikat dan Filipina untuk menjalani latihan di kedua-dua negara. Selain daripada itu, perjanjian ini turut memberikan akses kepada mana-mana kapal dan pesawat milik tentera Amerika Syarikat untuk beroperasi di Filipina.

Pembatalan VFA turut mengurangkan peluang Filipina untuk berlatih serta mendapat bantuan dari Amerika Syarikat dalam menangani ancaman pengganas, bencana alam serta ancaman maritim.

Melalui notis pembatalan yang diserahkan kepada Washington, VFA akan batal dalam tempoh 180 hari lagi.

Related Articles

Leave a Reply