Home SemasaGlobal AS bawa pulang kakitangan, rakyat dari Wuhan

AS bawa pulang kakitangan, rakyat dari Wuhan

by Bernama

WASHINGTON, 31 Jan – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan telah membawa pulang rakyat dan kakitangan termasuk diplomat AS yang berada di Wuhan, China, lapor agensi berita Anadolu.

Jurucakap Jabatan Negara Morgan Ortagus dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pesawat yang membawa mereka tiba di California dan penumpang diberikan pemeriksaan kesihatan sebaik mendarat.

Beliau turut mengingatkan sekali lagi kepada rakyat Amerika untuk tidak mengunjungi China kecuali jika perlu.

Pentadbiran AS turut menubuhkan sebuah pasukan petugas selaras dengan Strategi Biopertahanan Negara yang dimeterai Presiden Donald Trump pada 2018.

Trump pada Khamis berkata beliau “telah diberi taklimat mengenai koronavirus di China oleh semua agensi kami yang bekerjasama rapat dengan China”.

Beliau berkata agensi berkenaan akan terus memantau keadaan.

Virus maut itu telah meragut sekurang-kurangnya 132 nyawa di China dengan hampir 6,000 dijangkiti. Lebih 60,000 orang berada di bawah pemantauan.

Sejak wabak merebak pada akhir tahun lalu, China telah meletakkan Wuhan di bawah pengawasan dalam usaha membendung virus tersebut dan membina sebuah hospital dilengkapi 1,000 katil bagi merawat mereka yang terjejas.

Virus itu turut menular ke Jepun, Korea Selatan, Thailand, AS, Singapura, Perancis, Vietnam dan Kanada. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply