Home Semasa Pimpinan PH ada bincang penahanan dua ADUN DAP – Saifuddin

Pimpinan PH ada bincang penahanan dua ADUN DAP – Saifuddin

by Bernama

KUANTAN, 12 Okt – Isu penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ada dibincangkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanpun berkata perkara itu dibincangkan secara tidak formal pada semalam, dan buat masa ini tiada sebarang ketetapan diputuskan.

“Kita akan menungggu laporan siasatan selesai dan ikut dahulu semua prosedur yang ada seperti yang sebetulnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kencing Manis di Dewan Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, media melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan dua ADUN itu yang masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan.

Dua ADUN tersebut merupakan sebahagian daripada tujuh individu yang dikatakan terlibat dengan kumpulan LTTE, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.

Saifuddin juga memaklumkan Wisma Putra dengan kerjasama rapat daripada agensi penguatkuasa berkaitan sentiasa mengikuti pekembangan berhubung LTTE, sama seperti kumpulan-kumpulan pengganas yang lain.

“Kita menilai dan banyak perkara yang kita lihat seperti definisi pengganas itu sendiri yang diberi oleh negara atau badan antarabangsa yang mungkin berbeza dan tidak tepat dengan (pendirian) kita.

“Sebagai contoh, Israel menyifatkan Fatah dan Hamas sebagai pengganas tetapi kita tidak begitu, menyebabkan walaupun kedutaan rasmi Palestin ialah Palestinian Liberation Organization (PLO) iaitu Fatah tapi kita juga mempunyai hubungan dengan pejabat yang ditubuhkan wakil Hamas di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Saifuddin juga terdapat sesetengah organisasi pengganas juga perlu dilihat sebagai daripada radikal telah berubah kepada ‘moderate’ telah terlibat dengan pilihan raya negara mereka, menjadikan mereka tidak lagi boleh didefinisikan sebagai pengganas kerana sudah menjadi parti politik.

Saifuddin berkata pendekatan sangat berhati-hati dalam mentakrifkan perkataan pengganas juga perlu dilakukan kerana ada kumpulan yang dilabel sebegitu sebelum ini sudah terkubur dan hanya tinggal serpihan kecil penyokong sahaja. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply