Home Semasa Maritim Malaysia tahan bot kenka ceroboh kawasan menangkap ikan

Maritim Malaysia tahan bot kenka ceroboh kawasan menangkap ikan

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 31 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah bot kenka tempatan Kelas B selepas didapati menceroboh kawasan di kedudukan 3.5 batu nautika dari Barat Laut Tanjung Piandang, Perak, pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang bertindak atas maklumat awam telah berjaya menahan sebuah bot pukat tunda dipercayai sedang menunda ikan di kawasan terbabit.

Menurutnya, semasa menghampiri bot berkenaan, pihaknya mendapati kru bot sedang memotong pukat bagi tujuan melepaskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun dan dua orang lelaki tempatan berumur 54 tahun berada di atas bot tersebut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyatan.

Hamizan berkata, bot yang mengandungi satu gulung pukat tunda, dua tong ikan dan ikan campur yang dianggarkan seberat 100 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Hamizan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan di perairan Pulau Pinang agar aktiviti menyalahi undang-undang jenayah laut dapat dibanteras sebaiknya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama dengan memberi maklumat awam yang lengkap kepada pihak Maritim Malaysia melalui talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau terus hubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang, 04-2626146 / 04-264 3650.

 

 

Related Articles

Leave a Reply