Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais LINUD MALINDO medan pegawai, anggota tentera bertukar strategi

Eksesais LINUD MALINDO medan pegawai, anggota tentera bertukar strategi

by Bernama

BACHOK, 25 Julai – Eksesais LINUD MALINDO membabitkan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) (Para), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Batalion Infantri Pararider 501/Bajra Yudha, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) menjadi medan antara kedua-dua kumpulan bertukar strategi peperangan.

Pegawai Perisikan 8 RRD Para Lt R. Suhanraj berkata eksesais tersebut yang bermula sejak Ahad (21 Julai) lepas dan berakhir hari ini memberi peluang kepada 38 pegawai dan 486 anggota dari ATM bertukar-tukar pendapat dengan empat pegawai dan 36 anggota negara jiran dalam mengasah kemahiran mengenai latihan peperangan konvensional.

“Eksesais ini berkonsepkan latihan Airborne Operation yang memfokuskan kepada Mass Drop, Guguran Udara dan latihan peperangan konvensional antara kedua-dua ketumbukan.

“Ia bermula dengan sekumpulan pasukan perisikan membuat peninjauan lokasi mana yang sesuai untuk menerjunkan anggota tentera di dalam kawasan musuh sebelum mereka melakukan simulasi peperangan untuk mencapai objektif yang ditetapkan dalam tempoh tiga hari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais LINUD MALINDO 2019 di Pantai Irama di sini, hari ini.

Majlis penutup berkenaan yang dirasmikan Kol Asri Shukor itu turut dihadiri Asisten Operasi Kostrad, TNI-AD Kol Inf Elkines Villando Dewangga dan Pemangku Briged Kesepuluh Lt Kol Ahmad Fitri Othman.

Mengulas lanjut, Suhanraj berkata antara simulasi yang dilakukan termasuklah peserta digugurkan di Cherang Ruku, Pasir Puteh pada Ahad lepas sebelum menawan objektif yang ditetapkan di Pantai Irama di sini, sejauh kira-kira 40 kilometer dalam tempoh 72 jam.

“Peserta hanya dibekalkan dengan rangsum, senjata dan amunisi untuk keperluan selama tiga hari. Dalam tempoh tersebut, mereka perlu berjalan kaki dan akan berperang dengan musuh untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

“Latihan kali ini memberi peluang kepada peserta untuk menajamkan kemahiran mereka dalam situasi peperangan urban assault and jungle warfare dan lain-lain taktik kerana keadaan geografi di Pasir Puteh dan Bachok mempunyai kesemua elemen termasuklah pesisir pantai,” katanya.

Sementara itu, Kpl Paizul Hakim dari Batalion Infantri Pararider 501/Bajra Yudha berkata beliau bertuah kerana diberi kesempatan luar biasa untuk menyertai eksesais itu bersama 8 RRD (Para).

“Ia medan bagi kami untuk bertukar strategi dalam melaksanakan operasi udara secara bersama-sama demi menjaga keamanan antara kedua-dua negara kerana kita adalah dari satu rumpun yang sama.

“Tahun depan kami berharap 8 RRD (Para) dapat berkunjung ke pangkalan kami di Jawa Timur untuk melaksanakan latihan secara bersama-sama,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply