Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Raja Sepanyol kurnia Order of Civil Merit, iktiraf misi menyelamat TLDM dan APMM

Raja Sepanyol kurnia Order of Civil Merit, iktiraf misi menyelamat TLDM dan APMM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 9  Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam menerima darjah kebesaran Order of Civil Merit kurniaan Raja Sepanyol Raja Felipe VI, atas usaha mereka semasa misi mencari dan menyelamat dua rakyat negara itu yang hilang di perairan Sabah pada 2016.

Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Miguel Corvinos Lafuente menyampaikan darjah kebesaran itu kepada Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, yang mewakili TLDM, dan Ketua Pengarah APMM Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, dalam satu upacara khas di kediaman duta berkenaan di sini.

“Hari ini kami memberikan penghormatan kepada profesionalisme tinggi kedua-dua institusi, dan kami juga mengucapkan terima kasih untuk kerjasama anda dengan Sepanyol dan kedutaan ini,” kata Corvinos.

Order of the Civil Merit telah diperkenal oleh Raja Alfonso XIII pada 1926 dengan tujuan menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan terhadap individu atau organisasi yang telah memberikan sumbangan luar biasa dan dianggap sebagai satu perkhidmatan penting kepada Sepanyol.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Mohd Reza mengucapkan terima kasih kepada Raja Felipe VI dan kerajaan Sepanyol atas pengiktirafan mereka.

“Kami menerima anugerah ini bagi pihak mereka yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat itu, (dan) kami mengucapkan terima kasih kepada Sepanyol atas anugerah ini,” katanya.

Beliau berkata meskipun misi mencari dan menyelamat di laut biasanya dihadkan kepada tiga hari, ia telah dilanjutkan sehingga 10 hari atas permintaan Duta Sepanyol.

Pada 12 Mei 2016, pasangan Sepanyol David Hernandez Gasulla dan isterinya, Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, bersama-sama seorang pemilik resort Tommy Lam Wai Yin, 44 dan pekerjanya Armella Ali Hassan, 23, telah diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan berhampiran Kudat, Sabah.

Mereka dilaporkan hilang pada 2 Mei ketika menaiki bot yang dalam perjalanan selama dua jam dari Pulau Balambangan, dan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada pukul 8 malam pada hari sama.

TLDM dan APMM kemudian memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 3 Mei.

Semua mangsa telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan Vietnam di perairan Amboyna Cay berhampiran sempadan Vietnam-Malaysia, kira-kira 240 batu nautika dari Kudat.

Mereka kemudian dipindahkan dari bot nelayan Vietnam itu ke kapal APMM sebelum dibawa ke Kota Kinabalu dengan pesawat jenis Bombardier pada 13 Mei – Bernama

Related Articles

Leave a Reply