Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Enam elemen utama perlu dipraktik warga 2 Briged

Enam elemen utama perlu dipraktik warga 2 Briged

by Bernama

IPOH, 6 Jul – Enam elemen utama iaitu profesionalisme, kesiagaan, latihan, kebajikan, sistem pemerintahan rejimen serta kerohanian perlu diberi penekanan dan dipraktikkan oleh warga 2 Briged bagi meneruskan legasi kecemerlangan.

Panglima 2 Briged Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata dalam aspek profesionalisme, setiap warga 2 Briged perlu dipupuk melalui aktiviti yang dilaksanakan pasukan seperti sesi percambahan idea, kursus dan pembelajaran kendiri serta menerapkan budaya membaca dalam kalangan anggota supaya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata pemerintah pasukan 2 Briged perlu memastikan beberapa aspek kesiagaan seperti pengurusan sumber manusia, mobiliti, komunikasi, servisibiliti kenderaan dan peralatan tempur sentiasa berada dalam keadaan terbaik manakala pelaksanaan latihan perlu menjurus kepada kebolehan anggota melaksanakan sesuatu tugasan yang mampu menghasilkan keupayaan berfikir secara kritikal dan inovatif.

“Dari aspek kebajikan, saya juga mahukan warga 2 Briged bersedia untuk melaksanakan perubahan di tempat kerja melalui pelaksanaan Ekosistem Konduktif Sektor Awam sekali gus mampu menjadikan persekitaran tempat kerja lebih rapi, tersusun dan teratur.

“Pembentukan karakter yang unggul seperti disiplin diri, ketaatan kepada organisasi, sikap hormat menghormati, bertanggungjawab, mampu diterapkan melalui pelaksanana sistem pemerintahan rejimental,” katanya ketika berucap pada acara Perbarisan Perintah Ulung Panglima 2 Briged di Padang Kawad Markas 2 Briged semalam.

Malek Razak berkata isu penyelewengan dan salah laku moral seperti penyalahgunaan dadah, arak, judi siber, seks songsang, khalwat dan berkelakuan sumbang termasuk penyelewengan pemalsuan dokumen demi kepentingan atau untuk tujuan tertentu perlu dielakkan kerana ia menyalahi undang-undang.

“Saya berharap pegawai pemerintah perlu sentiasa dekat dengan anggota bagi mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka. Penerapan nilai-nilai moral dan peningkatan ilmu agama perlu diterapkan kepada warga 2 Briged agar perkara yang negatif dapat dielakkan.

“Saya juga berkehendakkan peranan KAGAT (Kor Agama Angkatan Tentera) di setiap pasukan dapat dipertingkatkan dengan melaksanakan aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah, qiamulail serta membaca Al-Quran. Saya juga mahu mana-mana anggota yang buta Al-Quran diberikan didikan yang sepatutnya,” katanya.

Pada 28 Jun lepas, Malek Razak secara rasmi dilantik sebagai Panglima 2 Briged yang baharu menggantikan Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply