Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Eksesais Kerismas, Taming Sari uji ketahanan aset TLDM – Panglima Mawilla 3

Eksesais Kerismas, Taming Sari uji ketahanan aset TLDM – Panglima Mawilla 3

by Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih lagi mampu berfungsi melaksanakan operasi ketenteraan di perairan negara walaupun kebanyakannya telah lama dan sudah tiba masa untuk dihentikan perkhidmatannya.

Panglima Wilayah Laut 3 Laksamana Pertama Mohamad Azuwan Harun berkata TLDM faham tentang kedudukan ekonomi semasa dan akan memastikan aset-aset sedia ada berada dalam keadaan baik agar fungsi TLDM tidak terjejas.

Mohamad Azuwan yang juga Pengarah Eksesais Kerismas 26/2019 berkata pasukan penilai diletakkan dalam eksesais yang berlangsung dari 2 hingga 19 Julai bagi melihat keberkesanan aset-aset itu termasuk aspek bantuan logistik daripada pangkalan.

“Kapal-kapal kami akan berada di laut dan beroperasi dalam tempoh masa yang panjang bagi menguji ketahanan kapal-kapal itu. Selain itu, pihak bantuan logistik dari darat pula perlu ambil tindakan yang pantas untuk hantar bantuan sekiranya diperlukan,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Eksesais Kerismas yang diadakan bersama-sama Eksesais Taming Sari melibatkan 11 kapal termasuk kapal selam KD Tun Razak serta lima helikopter, empat pesawat tempur dan tiga pesawat peronda Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ia disertai kira-kira 3,000 anggota dengan eksesais Kerismas merupakan eksesais terbesar TLDM yang diadakan semula selepas 14 tahun. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply