PORT DICKSON, 22 Jun – Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menyatakan seramai 40 daripada 1,727 Perajurit Muda yang tamat latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada hari ini adalah dari golongan bukan Bumiputera.
Beliau menjelaskan angka tersebut adalah terdiri daripada 10 masyarakat Cina manakala 30 India.
“Tentera Darat Malaysia (TDM) dari masa ke semasa mengalu-alukan mereka yang berminat, yang berkelayakan dan memenuhi syarat pengambilan untuk berkhidmat dalam tentera,” ujar Ahmad Hasbullah.
Panglima Tentera Darat menyatakan perkara tersebut dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 188/18, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu penglibatan kaum bukan Bumiputera yang rendah dalam tentera merupakan satu persoalan yang seringkali timbul dan sukar dijawab kerana ianya bergantung kepada inisiatif rakyat Malaysia itu sendiri.
“Sebagai Panglima Tentera Darat, saya tak dapat nak jawab soalan tersebut sebab rakyat sendiri tak mahu sertai tentera,
“Soalan saya kepada rakyat Malaysia adalah kenapa tidak mahu untuk menyertai tentera? Tepuk dada, tanya selera,” kata Hasbullah.
Beliau menambah, perkhidmatan tentera bukan untuk satu kaum sahaja tetapi terbuka kepada semua kaum yang menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Malaysia.